Kerjasama Malaysia dengan China dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus diperkukuh menerusi penubuhan Malaysia-China Institute (MCI), kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menerusi pertemuan penuh makna dengan Duta Besar Republik China, Ouyang Yujing dilakukan bagi membincangkan kerjasama strategik dua hala termasuk pembangunan modal insan, latihan pengajar, sokongan peralatan serta kemahiran teknikal, termasuk keperluan penghantaran tenaga pengajar bahasa Mandarin ke MCI.
“Di peringkat awal, MCI akan beroperasi menggunakan kemudahan GIATMARA sedia ada di Bagan Datuk, sebelum pembangunan kampus tetap baharu yang akan dibina di atas tanah seluas 60 ekar nanti.
“Institut ini disasarkan untuk menampung sehingga 2,000 orang pelajar dengan tumpuan kepada pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) berimpak tinggi dan bernilai tambah tinggi (High- Growth, High-Value),” ujarnya.
Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, kedua-dua pihak bersetuju penubuhan MCI berpotensi menjadi platform strategik bagi memperkukuh pertukaran pengetahuan, kepakaran dan latihan antara institusi kedua-dua buah negara.
Pada pertemuan berkenaan kedua-dua pihak juga bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Kerja Bersama di samping melaksanakan program mobiliti pelajar dan tenaga pengajar dalam sektor-sektor berimpak tinggi bagi menyokong pembangunan bakat dan keperluan industri masa hadapan.
Malah, sebanyak 18 bidang TVET telah dikenal pasti untuk pelaksanaan awal, antaranya melibatkan bidang automotif, kenderaan elektrik (EV), automasi industri, tenaga solar, robotik, Internet of Things (IoT) serta agroteknologi.
Katanya lagi sebagai langkah ke hadapan, mereka juga bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Kerja Bersama selain melaksanakan program berimpak tinggi bagi menyokong pembangunan bakat dan keperluan industri masa hadapan. – MalaysiaMADANI
