Berita

Lonjak ke tangga 54, bukti Kerajaan MADANI tegas perangi rasuah

Usaha serta komitmen berterusan Kerajaan MADANI memerangi rasuah membuahkan hasil besar apabila kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia melonjak kepada kedudukan 54.

Kedudukan baik Malaysia itu dicapai daripada 182 negara yang dinilai, sekali gus mengatasi kedudukan sebelum ini di tangga ke-62 pada 2021.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian baik itu mencerminkan usaha Kerajaan MADANI memerangi rasuah yang sistemik serta membetulkan kelemahan struktur tadbir urus negara.

“Peningkatan ini antaranya didorong oleh tindakan penguatkuasaan tegas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Ia termasuk kejayaan memulihkan lebih RM15.5 bilion hasil negara melalui rampasan aset, dana dan pembanterasan sindiket rasuah serta ketirisan yang telah lama menjejaskan kewangan awam,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Tambah beliau, Kerajaan MADANI sama sekali tidak akan berkompromi apabila isu integriti di institusi strategik negara dipersoalkan. 

Menurut beliau, tindakan tegas akan dikenakan terhadap salah laku dan penyelewengan dalam sektor pertahanan, di samping pembongkaran kartel serta rasuah berprofil tinggi.

Kata beliau lagi, Kerajaan MADANI akan terus melaksanakan prinsip bahawa tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang.

“Pencapaian ini juga adalah peringatan untuk kita menggandakan usaha memerangi rasuah secara konsisten dan berani, demi memulihkan keyakinan rakyat serta memastikan amanah negara terus dipertahankan,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI