Malaysia dan Indonesia bakal membangunkan satu kumpulan yang dinamakan Konsortium Akademik Malaysia Indonesia (KAMI) yang menghimpunkan para penyelidik kedua-dua negara dalam jaringan strategik dan berstruktur serta menghasilkan kajian berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Perkara itu dinyatakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir ketika mengadakan pertemuan bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Sains, dan Teknologi (Mendiktisaintek) Republik Indonesia, Prof. Brian Yuliarto.
Katanya Malaysia komited untuk terus mempererat hubungan dua negara serumpun ini melalui diplomasi pendidikan yang berterusan dan progresif, demi manfaat generasi muda serta kemajuan bersama.
“Perbincangan kami tertumpu kepada usaha memperluas kerjasama penyelidikan bersama, meningkatkan mobiliti pelajar dan pensyarah, serta pembangunan bakat dan juga kerjasama serantau di peringkat ASEAN yang boleh ditingkatkan.
“Antara lain ialah usaha membangunkan satu kumpulan yang dinamakan Konsortium Akademik Malaysia Indonesia (KAMI) yang menghimpunkan para penyelidik kedua-dua negara dalam jaringan strategik dan berstruktur serta menghasilkan kajian berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya.
Pertemuan muhibah itu dibuat bagi memperkukuh hubungan strategik Malaysia–Indonesia dalam bidang pendidikan tinggi.
Tambah Dr Zambry pertemuan kali ini diadakan dalam suasana yang santai berbanding pertemuan sebelum ini ketika Yuliarto hadir ke Festival of Ideas (FOI) Putrajaya tahun lalu di Putrajaya.
“InsyaAllah, kerjasama ini akan terus diperkasa selari dengan kerangka Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 dan pelan pembangunan pendidikan tinggi Indonesia,” katanya. – MalaysiaMADANI
