Kerajaan akan terus memperkukuh penyelarasan dasar dan tindakan secara menyeluruh dalam usaha membanteras ancaman dadah yang semakin serius dan kompleks.
Perkara itu dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD).
“Kerajaan akan terus bertindak tanpa kompromi bagi memastikan keselamatan rakyat serta melindungi masa depan generasi Malaysia.
“Pendekatan whole-of-government dan whole-of-society mesti diterjemahkan kepada tindakan konkrit dan boleh diukur,” katanya.
Beliau menambah tindakan memerangi dadah perlu dilaksanakan secara bersepadu serta tidak lagi boleh ditangani secara bersendirian atau berasingan.
“Tindakan kita mesti bersepadu, pantas dan berimpak tinggi dalam memerangi gejala yang semakin kompleks dan tidak boleh lagi ditangani secara bersendirian atau berasingan.
“Perjuangan ini bukan tanggungjawab satu pihak sahaja tetapi memerlukan komitmen bersama keluarga, komuniti, institusi pendidikan dan sektor swasta,” katanya.
Ancaman dadah kini menunjukkan corak pengedaran dan penyalahgunaan yang lebih tersusun serta merentas sempadan, sekali gus memerlukan pendekatan lebih menyeluruh dan bersepadu.
Malah sepanjang tahun 2025, nilai rampasan dadah dan bahan racun direkodkan mencecah RM3.19 bilion, meningkat ketara berbanding tahun sebelumnya dengan rampasan tersebut melibatkan 89 tan dadah dan 132 tan bahan racun, mencerminkan skala besar ancaman yang sedang dihadapi negara.
“Angka ini mencerminkan skala ancaman yang sedang dihadapi negara.
“Laporan terkini turut merekodkan seramai 191,832 individu terlibat, membuktikan isu dadah bukan lagi semata-mata isu jenayah, tetapi menjadi cabaran besar terhadap keamanan dan kemakmuran negara,” katanya. – MalaysiaMADANI
