Pejabat Education Malaysia (EM) di Arab Saudi akan dibangunkan sebagai pusat penyelarasan pendidikan antara Malaysia dan Arab Saudi, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Cadangan berkenaan adalah antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan bersama Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Osamah Dakhel R Al-Ahmadi di Parlimen hari ini.
“Inisiatif diplomasi ini dirangka dengan tujuan untuk melancarkan penyelarasan program pendidikan, biasiswa, serta menjaga keselamatan dan kebajikan pelajar kedua-dua negara secara berpusat.
“Selain bertujuan menyelaras kerjasama pendidikan termasuk program akademik, biasiswa, penghantaran serta kebajikan pelajar Malaysia dan Arab Saudi,” katanya.
Pada masa sama Zambry berkata, pusat berkenaan akan berperanan pusat sehenti yang boleh membantu menangani isu berbangkit berkaitan pendidikan.
Tambah Zambry, pihak Arab Saudi turut mengalu-alukan cadangan Malaysia dan beliau akan menghantar nota verbal kepada kerajaan Arab Saudi.
Beliau menjelaskan, penyelarasan program pendidikan dua hala yang akan dilakukan EM turut merangkumi keseluruhan aspek pendidikan antara kedua-dua negara dan tidak terhad kepada pendidikan tinggi sahaja.
“Apabila kita mempunyai EM di Arab Saudi ini, ia akan memanfaatkan ribuan pelajar Arab Saudi yang belajar di negara kita dan begitu juga pelajar kita. Terdapat ribuan pelajar kita yang sedang belajar di Arab Saudi,” jelasnya.
Sebelum ini Malaysia mempunyai Jabatan Pelajar Malaysia (MSD) di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Eropah dan ASEAN, tetapi tiada pusat penyelarasan pendidikan rasmi di Arab Saudi. – MalaysiaMADANI
