Memacu pembangunan komuniti berkemahiran, program Kampung Angkat MADANI terus diperkukuh Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menerusi pelancaran terbaru di Arena Square KRT Kampung Tersusun Banir Estate, Tapah, Perak.
Komitmen memperkasa pembangunan komuniti inklusif dan mampan itu dilaksanakan secara strategik oleh Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).
Kesuma berkata, majlis disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Azman Mohd Yusof dan dihadiri Ketua Eksekutif PTPK, Mohd Fathullah Mustafa.
Kata Kesuma, inisiatif strategik tersebut selaras aspirasi Malaysia MADANI berteraskan Kesejahteraan, Ihsan, Keyakinan dan Kemampanan, dengan fokus memperkasa masyarakat melalui pembangunan kemahiran, ekonomi dan kesejahteraan sosial di peringkat akar umbi.
“Konsep Kampung MADANI menekankan pembangunan holistik yang menggabungkan kemajuan fizikal serta pengukuhan nilai sosial dan rohani bagi melahirkan komuniti berdaya saing, berilmu, berkemahiran dan hidup harmoni,” kata Kesuma menerusi media sosial rasminya.
Menurutnya, fokus utama merangkumi latihan kemahiran, pembangunan keusahawanan dan sokongan perusahaan komuniti bagi meningkatkan taraf hidup melalui akses kepada latihan, pembiayaan dan pembangunan kapasiti.
Selain itu katanya, ia turut menekankan kesejahteraan sosial dengan membina komuniti inklusif dan penyayang, khususnya membantu golongan rentan seperti warga emas, belia dan keluarga berpendapatan rendah.
Tambahnya lagi, inisiatif itu juga menyokong pembangunan modal insan melalui latihan kemahiran berterusan serta akses kepada TVET, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran dan daya saing tenaga kerja tempatan.
Jelasnya, kejayaan pelaksanaan bergantung kepada penglibatan aktif komuniti dengan semangat kerjasama dan kepimpinan berintegriti, disokong berterusan oleh Kesuma dan PTPK melalui pembiayaan, latihan serta jaringan pasaran.
“Kampung Angkat MADANI ini dijangka menjadi model komuniti berkemahiran dan mampan yang menyumbang kepada pembangunan negara yang sejahtera dan inklusif,” ujarnya. -MalaysiaMADANI
