Semangat setia kawan serta permuafakatan kukuh yang diamalkan oleh masyarakat berbilang kaum di negara ini menjadi teras kepada pembangunan dan kejayaan dicapai Malaysia ketika ini.
Perkara itu ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa meraikan sambutan Tahun Baharu Cina di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).
Beliau meluangkan masa untuk bersama-sama rakan pimpinan serta masyarakat Cina sekitar ibu negara.
“Dewan ini dekat di hati saya, tatkala ia menjadi saksi perjalanan panjang sejak di universiti dan ABIM, serta saat jatuh dan bangkit semula ketika memperjuangkan keadilan, reformasi dan hak setiap rakyat bersama KLSCAH dan teman-teman seperjuangan,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Dalam ucapan beliau semasa sambutan Tahun Baharu Cina itu, Perdana Menteri memberi penekanan bahawa kemajuan yang dicapai hari ini lahir daripada semangat berpasukan dan kesediaan untuk bekerja keras merentasi kaum dan latar belakang.
Sejak puluhan tahun, jelas beliau, pemimpin terdahulu termasuk Tun Abdul Razak telah mengingatkan bahawa perpecahan dan sentimen perkauman adalah cabaran besar negara.
Untuk itu tegas beliau, hakikat bahawa perkara penting itu masih perlu diulang hari ini menjadi tamparan bahawa kita telah membiarkan masalah lama ini terus berlarutan.
Menurut beliau, Malaysia tidak akan bergerak ke hadapan jika rakyat terus berbalah dan membiarkan hasutan perpecahan dan perbezaan meretakkan kepercayaan sesama sendiri.
Tambah beliau lagi, kekuatan negara terletak pada muafakat dan kesediaan menyelesaikan perbezaan secara matang dan beradab.
“Saya menghargai kepercayaan dan sokongan yang telah terjalin sekian lama ini. Ia menjadi peringatan buat saya untuk terus bekerja dengan jujur, tekun dan berpegang pada prinsip keadilan dalam memikul amanah memimpin negara,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
