Masyarakat dinasihatkan supaya tidak memandang rendah terhadap Orang Diselia, (ODS) sekali gus menghapuskan stigma terhadap golongan berkenaan yang telah menjalani hukuman.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, individu yang dibebaskan tidak wajar diperlekeh sebaliknya perlu diberikan sokongan yang lebih padu.
“Hentikan hukuman sosial. Apabila mereka keluar nanti, janganlah kita menjadi ‘penjara kedua’ buat mereka dengan pandangan sinis dan kata-kata nista.
Kehadiran keluarga dan komuniti adalah ubat paling mujarab buat mereka,” katanya ketika hadir ke Majlis Iftar anjuran Jabatan Penjara Malaysia di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Mantin, Negeri Sembilan.
PRP Mantin menempatkan 500 prospek yang berbaki tiga tahun hukuman sebelum kembali sepenuhnya ke dalam masyarakat.
Mengulas lanjut Saifuddin menambah kementeriannya memperkukuh pendekatan yang lebih relevan dalam sistem keadilan dengan menekankan pemulihan menyeluruh terhadap ODS, sebagai teras utama reformasi.
Persepsi penjara adalah penamat sudah tidak dilihat relevan dan perlu diubah.Pusat Reintegrasi Penghuni, membuka ruang permulaan baharu kepada mereka yang menjalani baki hukuman kurang tiga tahun.
“Melalui baki hukuman bawah tiga tahun, mereka dipersiapkan melalui Penyucian Jiwa serta Pemerkasaan Ekonomi melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kulinari, dan industri hiliran agar mereka keluar nanti tidak lagi mengemis peluang, tetapi membawa “bekalan” gaji dan kemahiran untuk keluarga,” katanya.
Dalam lawatan berkenaan, Saifuddin menzahirkan rasa kagum terhadap banduan apabila bersedia menyerahkan sebahagian gaji yang diperoleh hasil pendapatan yang diperoleh dipenjar yang dilaksanakan oleh Jabatan Penjara Malaysia bersama syarikat swasta menerusi program Corporate Smart Internship (CSI).
“Saya benar-benar tersentuh. Dalam keterbatasan, mereka tetap memilih untuk memberi. Inilah roh reformasi yang dilaksanakan Kementerian Dalam Negeri. Kita tidak mahu sistem ini hanya menghukum. Kita mahu ia memulihkan. Semoga usaha ini terus diperkasa, dan setiap langkah kecil hari ini menjadi titik mula kepada kehidupan yang lebih baik esok,” katanya
Beliau menasihatkan masyarakat agar menghapuskan stigma terhadap ODS yang telah menjalani hukuman.
“Hentikan hukuman sosial. Apabila mereka keluar nanti, janganlah kita menjadi ‘penjara kedua’ buat mereka dengan pandangan sinis dan kata-kata nista. Kehadiran keluarga dan komuniti adalah ubat paling mujarab buat mereka,” katanya. – MalaysiaMADANI
