Berita

Elak jadi negara maju tapi tandus, kontang jiwa

Kejayaan sesebuah negara bukan hanya dinilai pada kemajuan teknologi dicapai, tetapi keupayaan menghasilkan modal insan yang mempunyai nilai-nilai tinggi terutama daripada aspek kerohanian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kemajuan tidak sekadar menekankan persaingan mahupun perlumbaan menguasai teknologi baharu, malah ia mencakupi persoalan mengenai pemerkasaan insan yang utuh. 

“Seperti yang diingatkan oleh pemikir dan filasuf besar Sepanyol, José Ortega y Gasset tentang gejala ‘barbarism of specialization’ yakni ia merupakan satu gejala di mana kita sekadar melahirkan generasi yang hanya mahir dalam bidangnya.

“Tetapi tandus dan kontang jiwa, hilang kefahaman mengenai sejarah serta nilai yang membentuk kemanusiaan,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Lantaran itu, Perdana Menteri berkata, pendidikan mesti menjadi wahana yang menjamin keseimbangan antara kecerdasan intelektual dan adab, antara kemajuan dan pensejarahan bangsa. 

Menurut beliau, sebagai sebuah Malaysia yang madani, ia menuntut semua pihak untuk melangkaui sempadan disiplin yang sempit. 

Jelas beliau, bagi mengelak berlakunya masyarakat berpecah, maka orang ramai mesti menyemarak budaya wacana yang sihat dan kefahaman lintas bidang, sama ada sains bertemu falsafah atau teknologi berpadu dengan kemanusiaan. 

Sehubungan itu beliau berkata, universiti harus menjadi ruang yang melerai polarisasi, bukan sekadar kilang melahirkan tenaga kerja tetapi harus menjadi taman ilmu yang menghasilkan keluasaan akal fikiran dan nurani yang mempunyai kesedaran serta kepekaan. 

“Saya percaya anak muda di negara ini memiliki kekuatan untuk menolak pemikiran yang menyimpang dan yang memicu pertelingkahan. 

“Kepimpinan masa depan tidak boleh dibina atas dasar kebencian atau keangkuhan intelektual, malah ia harus berakar pada ihsan dan rasa tanggungjawab kepada leluhur negara,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI