Sebanyak 1,898 siri Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) akan dianjurkan di seluruh negara sepanjang Ramadan ini, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, semua PJRM akan menawarkan barangan basah dan kering yang menjadi keperluan berbuka puasa termasuk untuk membuat kuih.
“PJRM antara intervensi kerajaan dalam membantu meringankan kos sara hidup rakyat dan menyantuni keperluan komuniti, khususnya golongan yang memerlukan termasuk dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
“Perbelanjaan pastinya akan bertambah maka program seperti PJRM amat penting sebagai pilihan mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih murah berbanding harga pasaran,” katanya.
Terdahulu, beliau membuat tinjauan ke sebuah pasar raya di Pandan Indah untuk melihat sendiri pelaksanaan PJRM dalam premis berkenaan dengan penawaran diskaun meliputi sebanyak 65 jenis barangan.
Beliau pada masa sama KPDN berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kementerian Kewangan yang telah meluluskan peruntukan khusus sejak beberapa tahun ini untuk menginstitusikan PJRM sebagai antara inisiatif menangani kos sara hidup.
“Melalui peruntukan khusus setiap tahun, KPDN dapat membuat perancangan dan penambahbaikan dari semasa ke semasa untuk meningkatkan keberkesanan pelaksanaannya, berbanding pelaksanaan program-program jualan barang murah secara adhoc sebelum ini,” ujarnya.
Malah Armizan berkata, KPDN juga menyediakan Takwim PJRM yang boleh diakses di laman sesawang kementerian untuk membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat tarikh dan lokasi PJRM di sekitar mereka.
Takwim berkenan boleh diakses di pautan https://pjrm.kpdn.gov.my . – MalaysiaMADANI
