Berita

KPT sasar 10 Politeknik premier tawar Ijazah Sarjana Muda menjelang 2027

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus memacu transformasi ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara dengan mengangkat martabat Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) sebagai pilihan utama pendidikan tinggi.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata, usaha berkenaan melibatkan perubahan struktural dan perundangan komprehensif, termasuk meneliti penggubalan Akta Politeknik baharu.

“Transformasi ini memberi autonomi kepada politeknik bagi menawarkan pengajian peringkat Ijazah Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang berkemahiran tinggi seperti kecerdasan buatan (AI) serta semikonduktor.

“Usaha strategik ini juga bertujuan untuk memperluaskan akses pendidikan percuma serta menstruktur semula program prauniversiti sebagai langkah memodenkan sistem pendidikan negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Zambry menyarankan Politeknik Balik Pulau diperkasa peranannya sebagai hab sokongan kepada ekosistem industri semikonduktor negara di Pulau Pinang.

Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) juga menyasarkan untuk melahirkan jumlah terkumpul sejuta graduan menjelang tahun 2027, selain Politeknik Ungku Omar (PUO) dijadualkan mula menawarkan program Sarjana Teknologi pada tahun hadapan.

Beliau pada masa sama menyeru seluruh warga (JPPKK) untuk menghayati semangat ‘wahdatul fikr’ atau kesatuan pemikiran dalam melaksanakan agenda nasional ini sebagai satu pasukan yang utuh.

Sementara itu, ​Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shamsuri Abdullah  membentangkan ‘Grand Design PolyCC’ dengan menggariskan 13 iltizam strategik, termasuk sasaran menaik taraf 10 buah politeknik kepada status Politeknik Premier menjelang tahun 2027.

Katanya, lima politeknik sedia ada telah berstatus premier manakala lima lagi, sedang dalam proses penarafan bagi membolehkan penawaran program ijazah setanding universiti teknikal antarabangsa seperti di Jerman dan Switzerland. -MalaysiaMADANI