Saringan bersasar akan dilaksanakan ke atas pelancong dari negara-negara berisiko tinggi seperti India dan Bangladesh yang tiba di negara ini sebagai usaha kukhkan kesiapasagaan negara mencegah penularan virus Nipah.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, saringan berkenaan dilaksanakan di semua pintu masuk antarabangsa negara, dengan sistem pengimbas suhu badan bagi mengesan sebarang petunjuk awal seperti demam dalam kalangan pengembara.
“Saringan bersasar telah kami mulakan dan tumpuan kepada pelancong yang datang, khususnya dari India dan Bangladesh.
“Tiada laluan khas untuk mereka, andainya ada indikator untuk demam dan sebagainya, kemudian kami akan panggil mereka. Kami berjaga-jaga tapi saringan masih dijalankan di pintu masuk,” katanya.
Terdahulu beliau hadir ke Majlis Pelancaran Unit Bergerak Saringan Kesihatan Jantung RHB-IJN.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pendekatan itu selaras dengan amalan kebanyakan negara-negara lain.
“KKM sentiasa berhubung rapat dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi memastikan langkah-langkah kawalan yang diambil adalah bersesuaian dan selari dengan perkembangan terkini di peringkat antarabangsa,” ujarnya. – MalaysiaMADANI
