Berita, Siaran Media

Perketat pendaftaran kad SIM prabayar guna MyDigital ID – MCMC

Proses pendaftaran kad SIM prabayar akan diperketat dengan langkah lebih selamat dan boleh dipercayai, termasuk penggunaan MyDigital ID.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan, tindakan berkenaan bagi mengelak penyalahgunaan selain memastikan syarikat telekomunikasi menggalas tanggungjawab dengan jelas.

“Mekanisme pendaftaran kendiri sedia ada bergantung kepada muat naik dokumen dan kaedah ini terdedah kepada pemalsuan dan kecurian identiti.

“Ketiadaan identiti digital yang selamat juga mengehadkan kebolehkesanan dan kebertanggungjawaban pengguna,” katanya dalam kenyataan. 

MCMC memaklumkan, langkah berkenaan diumumkan susulan penerbitan Laporan Siasatan Awam yang meneliti cadangan Standard Mandatori untuk pendaftaran pengguna prabayar.

Malah, siasatan awam yang dijalankan sepanjang 45 hari, bermula 14 Oktober hingga 28 November lalu dengan 15 maklum balas diterima, termasuk 10 daripada penyedia perkhidmatan dan lima daripada orang awam.

Kelemahan berkenaan kata MCMC boleh menimbulkan risiko terhadap keselamatan pengguna, keselamatan negara dan integriti perkhidmatan digital, sekali gus memerlukan rangka kerja kawal selia yang lebih selamat, seragam dan boleh dikuatkuasakan.

Standard Mandatori yang dicadangkan bakal memperkenalkan platform pendaftaran automatik yang selamat, pengesahan biometrik, serta tanggungjawab yang lebih jelas bagi penyedia perkhidmatan dan pengedar.

Salah satu penambahbaikan utama ialah pengintegrasian MyDigital ID bagi pendaftaran kendiri, terutamanya bagi individu yang telah memiliki identiti digital ini.

MCMC berkata penggunaan MyDigital ID dijangka meningkatkan tahap jaminan dan mengukuhkan integriti serta kebolehpercayaan proses pendaftaran prabayar.

Katanya, langkah ini juga selaras dengan inisiatif identiti digital nasional kerajaan, yang bertujuan memodenkan sistem pengenalan dan transaksi digital.

“Selain itu, Standard Mandatori akan membantu mengurangkan risiko kad SIM disalahgunakan untuk penipuan dalam talian dan kegiatan jenayah lain,” katanya. – MalaysiaMADANI