Berita

Berani buat, sendiri tanggung

Tiada kompromi malah tindakan sewajarnya akan diambil terhadap penjawat awam terutama di peringkat pengurusan tertinggi yang terlibat dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah.  

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, mengenai isu yang berbangkit baru-baru ini berhubung tangkapan dan siasatan salah guna kuasa, Perkhidmatan Awam tidak akan sama sekali berkompromi untuk mengambil tindakan mengikut lunas perundangan.

“Tindakan akan dikenakan terhadap mana-mana penjawat awam mengikut lunas perundangan yang ditetapkan sekiranya didapati bersalah,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Perkhidmatan Awam akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh dan telus, bagi memastikan prinsip keadilan terpelihara kepada pihak yang sedang disiasat.

Tegas beliau, prinsip menolak salah guna kuasa, rasuah dan kecurangan tatakelola adalah sangat penting untuk dijunjung setiap masa, selaras dengan ikrar Rukun Negara dan ikrar Perkhidmatan Awam.

Jelas beliau, perkara tersebut mustahak bagi memastikan imej dan kredibiliti Perkhidmatan Awam tidak dicemari dengan perilaku yang boleh menghakis kepercayaan awam terhadap institusi teras negara.

Menurut beliau, nilai integriti akan sentiasa menjadi teras kepada penyampaian perkhidmatan awam yang berkesan, mengurangkan ketirisan hasil negara serta mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.

“Semua ini selaras dengan aspirasi di bawah Kerajaan Malaysia MADANI,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI