Berita

Titah Adendum: Hormati keputusan hakim

Kerajaan MADANI kekal berpegang teguh kepada prinsip penegakan negara hukum serta pengasingan kuasa berhubung keputusan mahkamah membabitkan Titah Adendum ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, merujuk kepada penghakiman berhubung isu Titah Adendum yang diputuskan pada Isnin, badan kehakiman mesti dan terus bebas daripada sebarang pengaruh luar. 

“Atas prinsip inilah saya menghormati keputusan yang telah dibuat oleh hakim,” kata beliau menerusi satu kenyataan media pada Selasa.

Atas prinsip kedaulatan undang-undang, beliau berkata, semua pihak wajar menghormati keputusan yang telah dibuat oleh pihak hakim.

Jelas beliau lagi, ia termasuk ruang dan saluran perundangan yang masih tersedia untuk mengemukakan rayuan, selain kepada Yang Di-Pertuan Agong, selaras dengan peruntukan undang-undang yang ada.

Sehubungan itu menurut beliau, semua pihak serta orang ramai diminta agar menerima dan menangani isu ini dengan penuh sabar dan bijaksana. 

“Sekalipun ada pihak yang memilih untuk tidak menzahirkan simpati kepada Dato’ Sri Najib Razak dan keluarganya, adalah tidak wajar untuk mengeruhkan suasana atau menambah ketegangan dalam keadaan yang sensitif ini,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI