Pembangunan Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey tidak boleh lagi ditangguh, memandangkan ia merupakan projek strategik yang kritikal untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam sektor pelabuhan dan logistik serantau.
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan mesyuarat berkaitan projek berkenaan pagi tadi yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shaari dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
“Projek ini telah lama dirancang dan tidak wajar lagi ditangguhkan.
“Alhamdulillah, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor mencapai kesepakatan untuk menggerakkan pembangunannya sesegera mungkin supaya manfaat pembangunan ini dapat dinikmati rakyat dan membuka peluang ekonomi baharu,” katanya.
Mengulas lanjut beliau menegaskan, semua agensi berkaitan diarahkan untuk bergerak pantas dan memastikan projek ini menjadi model baharu pelaksanaan pembangunan negara yang lebih cekap, tersusun dan berintegriti.
“Setelah bertahun-tahun dirancang dan melalui pelbagai perbincangan, kerajaan kini mengambil pendirian tegas bahawa pembangunannya mesti digerakkan segera.
“Kita tidak ada ruang untuk berlengah. Projek ini sudah lama menunggu, dan manfaat ekonominya terlalu besar untuk ditunda lagi,” katanya.
Bagaimanapun beliau memberi jaminan meskipun pembangunan dipercepatkan, kepentingan Orang Asli, penduduk setempat, nelayan serta kelestarian ekosistem mesti menjadi keutamaan.
“Pembangunan negara hanya bermakna jika ia berjalan seiring keadilan sosial dan tanggungjawab terhadap alam,” katanya. – MalaysiaMADANI
