Berita

Syabas Malaysia, terus berdaya saing dan disegani

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakam setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh Kontinjen Malaysia atas pencapaian membanggakan di Sukan SEA Thailand, baru-baru ini.

Beliau berkata, kejayaan tersebut adalah hasil disiplin tinggi, pengorbanan berterusan serta semangat juang para atlet, jurulatih dan pegawai pasukan yang tidak pernah luntur dalam mengharumkan nama negara di persada serantau.

“Pencapaian ini wajar dijadikan pemangkin untuk terus memperkukuh persiapan menghadapi temasya sukan utama yang lain.

“Semoga Malaysia terus kekal berdaya saing dan disegani di peringkat serantau dan antarabangsa,” kata beliau menerusi laman media sosialnya meraikan kejayaan baik kontinjen negara di temasya sukan tersebut.

Dalam masa sama, beliau berkata, Malaysia akan memastikan persiapan sebagai tuan rumah untuk Sukan SEA 2027 akan dilaksanakan secara menyeluruh, terancang dan berwibawa.

Bukan sekadar menyediakan sudut prasarana dan penganjuran baik, tegas Perdana Menteri, Malaysia akan berusaha membina ekosistem sukan yang mampan serta melahirkan bakat berkelas dunia.

Lebih daripada itu, menurut beliau, sukan adalah wadah penyatuan rakyat yang merentas kaum, wilayah dan latar belakang menerusi satu semangat kebersamaan serta kebanggaan nasional. 

“Inilah kekuatan sebenar Malaysia yang mesti terus dipelihara dan diperkasa,” ujarnya. -MalaysiaMADANI