Program Rancakkan Madani Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran 502,804 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya yang bermula sejak Jumaat lalu di Dataran Putrajaya.
Program berskala nasional anjuran Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (Pacu) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam dan Perbadanan Produktiviti Malaysia memaklumkan pelbagai pencapaian ketara berjaya dicapai termasuk kutipan jualan MADANI sebanyak RM2.15 juta merangkumi jualan usahawan, Jualan Rahmah, Jualan Agro, Selera Malaysia dan trak makanan.
Malah, kaunter kompaun saman terpilih Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) masing-masing merekodkan kutipan RM98,330 dan RM36,143 menjadikan jumlah keseluruhan RM134,473.
Sepanjang program itu juga, sejumlah 1,252 individu menerima tawaran pekerjaan melalui sesi temu duga terbuka.
Program Rancakkan MADANI juga menghimpunkan kira-kira 500 pengisian merentasi lapan segmen utama iaitu Belia MADANI, Kesejahteraan Rakyat Madani, Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (Arpa), Produk Rakyat Madani, Ukhuwah Rakyat Madani, Jualan Madani, Tahun Melawat Malaysia 2026 serta Kepengerusian Asean dan Diplomasi Madani.
Antara inisiatif baru yang dilancarkan ialah Sahabat Penggerak Madani, Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) 3.0, Pekeliling Iltizam, Indeks Prestasi Perkhidmatan Awam (I-PPA), Modul Latihan Arpa serta Buku Malaysia Merdeka.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan disertai kedua-dua timbalan perdana menteri, barisan jemaah menteri, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar selain kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam Persekutuan dan negeri
Sementara itu dalam ucaptamanya, Perdana Menteri berkata program itu menjadi platform terbaik untuk rakyat menilai secara langsung pencapaian kerajaan sepanjang tiga tahun pentadbiran Madani selain membolehkan perkhidmatan, manfaat dan inisiatif kerajaan disampaikan secara terus di satu lokasi.
Anwar turut merakamkan penghargaan terhadap komitmen semua kementerian dan agensi serta sokongan rakyat yang hadir dalam jumlah memberangsangkan yang mencerminkan keyakinan berterusan terhadap usaha pembaharuan kerajaan. – MalaysiaMADANI
