Berita

Penjawat awam tunjang kejayaan cemerlang Malaysia -PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan tinggi kepada seluruh pasukan penjawat awam atas kerja keras yang telah diberikan sepanjang tiga tahun pentadbiran Kerajaan MADANI.

Beliau berkata, penghargaan tinggi itu juga ditujukan kepada seluruh jentera Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang telah bertungkus-lumus menyiapkan skim saraan baharu demi menaikkan gaji dan menjaga kebajikan penjawat awam. 

“Alhamdulillah, Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) ini telah menerima sambutan positif daripada rakan-rakan penjawat awam,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Terdahulu Perdana Menteri meluangkan masa menghadiri Majlis Makan Malam Konvensyen Kongres Tritahunan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) ke-30.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz serta Presiden Cuepacs, Datuk Dr Adnan Mat.

Perdana Menteri berkata, kerja keras selama tiga tahun telah mula memperlihatkan hasil menerusi kejayaan Malaysia yang kian terserlah menerusi keyakinan pelabur.

Selain itu kata beliau, negara juga mencatat kemajuan teknologi serta berada pada kedudukan baik di pentas dunia.

Menurut beliau, semua kejayaan itu lahir daripada kegigihan penjawat awam yang bergerak seiring dengan barisan pimpinan negara yang mahu memastikan Malaysia terus melangkah ke hadapan.

Tegas beliau, kekuatan kerajaan tidak berdiri pada pemimpinnya semata-mata, tetapi pada teguhnya perkhidmatan awam, disiplin, integriti dan kesungguhan yang menjadi tonggak serta tulang belakang pentadbiran negara. 

Sehubungan itu kata beliau, prestasi Kerajaan MADANI yang semakin cemerlang dicatat hari ini adalah cerminan kekuatan penjawat awam secara keseluruhannya.

“Sebagai tanda penghargaan, saya umumkan sumbangan tambahan RM500,000 bagi melancarkan perjalanan konvensyen ini. 

“Semoga Allah memperkukuh iltizam kita untuk terus memajukan Malaysia bersama-sama, berasaskan dedikasi tertinggi penjawat awam,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI