Berita

Murid Orang Asli banggakan Malaysia di pentas antarabangsa IRO 2025

Malaysia merangkul lima pingat menerusi pertandingan Olimpiad Robot Antarabangsa ke-27 (IRO 2025) di Gold Coast, Australia yang berlangsung pada 16 hingga 22 Disember.

Apa yang menarik, kejayaan membanggakan itu disumbangkan oleh pasukan murid Orang Asli yang dipilih mewakili negara.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, Malaysia terdiri daripada lima pasukan dari tiga buah negeri iaitu Johor (tiga pasukan), Perak (satu pasukan) dan Pahang (satu pasukan).

Malah katanya, tiga pelajar Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan Pengkalan Tereh, Kluang, Johor telah mengharumkan nama negara di persada antarabangsa apabila merangkul pingat emas Kategori Idea Kreatif (Tingkatan Rendah).

Kejayaan itu dicapai menerusi ciptaan robot ‘rover’ yang direka untuk mengkaji permukaan Marikh.

Robot ciptaan tiga pelajar itu berjaya menewaskan peserta dari 15 negara lain dalam pertandingan berprestij terbabit.

“Pada kejohanan ini, pasukan murid Orang Asli telah berjaya merangkul lima pingat,” kata KPM menerusi laman media sosial rasminya.

Menurut kenyataan itu, satu pingat emas diperoleh menerusi Creative Category Idea Junior dan satu pingat gangsa untuk Creative Category Technic Junior, manakala tiga pingat teknikal robot masing-masing untuk Creative Category Idea Junior, Creative Movie Junior dan Creative Category Technic Junior.

Katanya, penyertaan murid Orang Asli dan Peribumi di peringkat antarabangsa itu merupakan satu langkah signifikan dalam memperkembangkan potensi, meningkatkan kemahiran serta memperluaskan pendedahan di arena global.

Jelasnya lagi, pelaksanaan itu juga selaras dengan aspirasi pendidikan yang inklusif, progresif dan berdaya saing. -MalaysiaMADANI