Malaysia akan menyalurkan sumbangan sebanyak RM500 kepada pelajar Indonesia yang sedang menuntut di negara ini dan terkesan dengan banjir teruk melanda Aceh dan Sumatera Utara, Indonesia.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif berkenaan sebagai tanda ihsan dan persahabatan antara dua negara jiran yang berkongsi hubungan kekeluargaan.
“Pelajar Indonesia di Malaysia yang terkesan boleh mendaftar dengan institusi pengajian masing-masing bagi membolehkan bantuan diselaras dan disalurkan mengikut keperluan mereka,” katanya.
Beliau pada masa sama berkata, Malaysia menzahirkan rasa simpati dan dukacita kepada kerajaan Indonesia dan seluruh rakyatnya atas bencana yang menimpa Aceh dan Sumatera Utara.
“Malaysia bersolidariti bersama saudara kita yang sedang melalui detik sukar ini,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan mengumumkan bantuan khusus akan diberikan kepada pelajar-pelajar Malaysia di Aceh yang terkesan akibat bencana banjir yang melanda wilayah itu.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Kadir berkata, pihaknya sedang berhubung rapat dengan Education Malaysia di Indonesia, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta serta pihak berkuasa Indonesia bagi mendapatkan senarai lengkap pelajar Malaysia di Aceh dan menilai tahap keperluan mereka.
Katanya, tindakan susulan akan diambil segera termasuk penyelarasan bantuan kewangan sebanyak RM500 seorang serta apa-apa bantuan tambahan yang diperlukan.
“KPT berdoa agar semua mangsa bencana diberikan kekuatan menghadapi ujian ini dan mendoakan keselamatan seluruh pelajar Malaysia serta saudara-saudara kita di Indonesia.
“Kerajaan Malaysia melalui KPT kekal komited untuk memastikan tiada pelajar sama ada warga tempatan atau antarabangsa terbiar tanpa perhatian sewajarnya,” katanya.
Katanya, KPT melalui Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta akan mengambil tindakan segera untuk menyelaras pendaftaran serta penyaluran bantuan tersebut.
Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) sebelum ini melaporkan kira-kira 961 kematian, 234 orang hilang dan kira-kira 5,000 cedera di wilayah Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat yang terkesan bencana berkenaan. – MalaysiaMADANI
