Berita, Siaran Media

Malaysia kecam serangan ganas di Sydney ragut 16 nyawa tidak berdosa

Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan ganas di Sydney, Australia yang meragut nyawa orang awam yang tidak bersalah dan berharap pihak yang bertangungjawab dibawa ke muka pengadilan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tegas beliau, Malaysia berdiri teguh bersama rakyat dan kerajaan Australia dalam menghadapi saat sukar ini serta menyokong sepenuhnya segala usaha bagi memastikan pihak bertanggungjawab dikenal pasti dan dibawa ke muka pengadilan mengikut undang-undang.

“Tiada sebarang justifikasi boleh membenarkan keganasan yang menyasarkan orang awam, apatah lagi apabila dilakukan berdasarkan perbezaan kaum atau agama.

“Tindakan sedemikian sama sekali tidak berlandaskan mana-mana kepercayaan atau pegangan agama,” katanya.

Semalam, kira-kira  16 orang awam dilaporkan maut, termasuk seorang penyerang selepas insiden tembakan di Pantai Bondi, Sydney.

Perdana Menteri New South Wales (NSW), Chris Minns, mengesahkan kejadian berkenaan dan melibatkan 16 orang terbunuh dalam kejadian tembakan pada acara Hanukah Yahudi di Pantai Bondi, termasuk seorang yang dipercayai sebagai penembak.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berharap semua yang cedera diberikan kesembuhan sepenuhnya.

Katanya beliau amat terkejut dan berdukacita dengan serangan ganas di Sydney yang meragut nyawa orang awam tidak berdosa serta mencederakan ramai pihak lain. 

“Saya mengecam sekeras-kerasnya perbuatan ini. Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan supaya semua yang cedera diberikan kesembuhan,” katanya.

Sementara itu, pasukan polis mengesahkan seramai 29 orang dikejarkan ke hospital, termasuk dua anggota polis yang berada dalam keadaan serius dan kritikal.

Terdahulu, Polis Australia mengesahkan dua suspek dalam serangan tembakan beramai-ramai di Pantai Bondi, Sydney, merupakan pasangan anak dan bapa, dalam insiden yang kini disifatkan sebagai serangan pengganas yang menyasarkan komuniti Yahudi.

Menurut kenyataan rasmi, penyerang berusia 50 tahun maut di tempat kejadian selepas berbalas tembakan dengan pihak berkuasa, manakala anak lelakinya yang berusia 24 tahun mengalami kecederaan parah dan kini dirawat di hospital dalam keadaan kritikal.

Serangan yang berlaku pada malam pertama sambutan Hanukkah itu mengorbankan sekurang-kurangnya 16 nyawa, termasuk seorang kanak-kanak dan dua anggota polis.

Rakaman video menunjukkan seorang peniaga tempatan, Ahmed al Ahmed, bertindak berani melumpuhkan salah seorang penyerang, sekali gus mengelakkan lebih banyak korban jiwa. – MalaysiaMADANI