Berita, Siaran Media

KKM akan pastikan rakyat terima perkhidmatan kesihatan terbaik tanpa mengira lokasi

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) komited melaksanakan penambahbaikan berterusan bagi meastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang terbaik diberikan kepada rakyat khususnya fasiliti kesihatan.

Justeru KKM mengumumkan mobilisasi seramai 380 pegawai perubatan, jururawat dan Penolong Pegawai Perubatan ke fasiliti kesihatan di seluruh negara sebagai langkah memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Pelaksanaan itu dibuat selaras dengan kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam, 7 Disember lalu.

KKM dalam kenyataan memaklumkan langkah itu bertujuan memastikan fasiliti kesihatan sentiasa berada pada tahap kekuatan optimum khususnya di kawasan yang berdepan kekurangan anggota.

“Mobilisasi ini adalah komitmen KKM untuk memastikan rakyat menerima perkhidmatan kesihatan terbaik tanpa mengira lokasi.

“Selain pegawai perubatan, skim jururawat dan Penolong Pegawai Perubatan turut terbabit dalam penempatan semula dari Ibu Pejabat KKM ke fasiliti kesihatan.

“Usaha ini menyokong agenda Pengukuhan Agensi Barisan Hadapan di bawah reformasi perkhidmatan awam khususnya bagi merakyatkan penyampaian perkhidmatan kesihatan,” kata u.

KKM turut memaklumkan bahawa kajian menyeluruh akan dijalankan bagi menilai impak dan keberkesanan mobilisasi ini dalam jangka panjang.

“Hasil kajian itu penting bagi menentukan kebolehlaksanaan mobilisasi anggota kesihatan pada masa hadapan,” jelas kenyataan itu lagi. – MalaysiaMADANI