Berita

HPTN 2025 berlangsung meriah, MOT beri sokongan penuh

Penganjuran Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2025 Peringkat Kebangsaan yang diadakan selama dua hari bermula Rabu di Johor Bahru, Johor berlangsung meriah dan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Sebagai sebuah platform tahunan menghargai sumbangan para profesion teknikal dalam memacu kemajuan infrastruktur dan pemodenan negara, kesempatan terbaik itu dimanfaat sebaiknya oleh pelbagai pihak termasuk Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT).

MOT dalam kenyataannya berkata, pihak kementerian telah berbesar hati menerima jemputan untuk menyertai sambutan HPTN 2025 yang menyediakan pelbagai peluang dan manfaat besar kepada orang ramai.

“Sebagai sokongan kepada aspirasi ini, MOT menampilkan penyertaan bersama dua agensi di bawah kementerian iaitu Malaysia Rail Development Corporation (MRDC) dan Rapid Transit System (RTS),” kata kenyataan itu menerusi laman media sosial rasmi MOT. 

MOT berkata, penglibatan secara langsung itu selaras dengan matlamat HPTN dalam memperkukuh jaringan strategik antara sektor awam, swasta, akademia serta pemain industri.

Selain itu kata kenyataan tersebut, penglibatan MOT dalam program penuh bermanfaat itu bagi memastikan penghasilan kesinambungan generasi pelapis profesion teknikal.

Majlis perasmian HTPN telah disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. 

Hadir sama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan serta barisan profesional teknikal daripada pelbagai kementerian jabatan agensi.

“MOT pastinya menyokong penuh usaha pembangunan masa depan yang lebih mampan dan inovatif,” kata kenyataan itu. -MalaysiaMADANI