Berita

DTU di setiap kementerian, perkukuh agenda pendigitalan sektor awam

Kerajaan MADANI terus berusaha memperkukuh agenda pendigitalan sektor awam bagi memastikan perkhidmatan lebih pantas, mudah, telus dan pastinya berfokus kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, satu mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) telah diadakan serta membincangkan langkah memantapkan lagi sektor tersebut.

Beliau berkata, mesyuarat bersetuju menubuhkan Unit Transformasi Digital (DTU) di setiap kementerian, mempercepat pendaftaran MyDigital ID serta memacu pembangunan MyGov Malaysia sebagai gerbang digital tunggal berteraskan kecerdasan buatan (AI).

“Keutamaan dalam usaha ini akan diberikan kepada peningkatan liputan dan kualiti internet di institut pengajian tinggi awam (IPTA).

“Selain itu, keutamaan juga ditekankan untuk premis latihan kerajaan bagi menyokong pengajaran dan pembelajaran digital secara berterusan,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Menurut beliau, bagi merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai Hab Kreatif Digital Global menjelang 2030, kerajaan telah merangka Pelan Hala Tuju Ekosistem Kreatif Digital 2026–2030 (DICE Roadmap).

Jelas beliau, ia sebagai panduan untuk meletakkan negara sebagai peneraju penciptaan harta intelek berkualiti tinggi serta pembangunan bakat kreatif bertaraf dunia.

Kata beliau, segala inisiatif tersebut menjadi asas kepada Fasa 3 Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (2026–2030) yang memberi tumpuan kepada pemerkasaan perniagaan, peningkatan taraf hidup rakyat dan reformasi ekonomi digital negara.

“Insya-Allah, Kerajaan MADANI akan terus berusaha dengan penuh tekad, kecekapan dan berpaksikan rakyat, demi memastikan Malaysia kekal maju, makmur dan bersedia menghadapi cabaran era digital yang semakin pesat,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI