Berita

Tangani tenaga kerja mahir sektor pembinaan melalui pemerkasaan TVET



Bagi memastikan keperluan tenaga mahir negara mencukupi, kerajaan kini memberi tumpuan serius dengan pelaksanaan beberapa langkah proaktif, kata Menteri Kerja Raya.

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kekurangan tersebut diatasi melalui beberapa pelaksanaan dan penyelarasan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Kerajaan menerusi usaha Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Pengerusi Majlis TVET Negara telah menggerakkan usaha menyeluruh bagi memperkasakan program tersebut.

Memang ada dasar tertentu untuk kita atasi kekurangan kemahiran ini di masa akan datang.

“Program TVET kini diperkukuh, di mana Timbalan Perdana Menteri sendiri mengetuai inisiatif ini untuk menyeragamkan pelaksanaan antara agensi supaya lebih terarah dan berkesan,” katanya.

Dalam pada tu, Nanta menjelaskan program TVET dilaksanakan di beberapa agensi dibawah  kementeriannya seperti Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk menambah tenaga kerja mahir khususnya dalam bidang kejuruteraan.

“Ini langkah yang jelas dan berkesan untuk kita tangani masalah kekurangan tenaga mahir pada masa depan,” katanya.

Malah pada masa sama pihaknya terus menggalakkan anak muda di universiti untuk menceburi bidang teknikal supaya industri pembinaan negara tidak terjejas dengan kekurangan tenaga kerja mahir. – MalaysiaMADANI