Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung selama tiga hari di Kuala Lumpur berakhir dengan jayanya semalam apabila mencapai pelbagai hasil penting termasuk kemasukan rasmi Timor-Leste sebagai Negara Anggota ASEAN ke-11.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persidangan kali ini bukan sahaja menghimpunkan pemimpin serantau, dunia serta rakan dialog terbesar dalam satu acara, pelbagai pencapaian konkrit berjaya diraih bagi memperkukuh integrasi ekonomi, memperluas kerjasama strategik serta mempertingkat daya tahan rantau terhadap cabaran global.
Beliau berkata, Malaysia memainkan peranan utama dalam memupuk semangat keterangkuman, kemampanan dan keamanan serantau serta terus menggalas tanggungjawab sebagai suara yang menyeru ke arah dialog, persefahaman dan penyelesaian aman terhadap sebarang pertikaian.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada para petugas media tempatan dan antarabangsa yang telah memberikan liputan menyeluruh serta berkualiti tinggi.
“Kalian menjadi jambatan penting antara dasar dan rakyat, antara semangat ASEAN dan dunia luar,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Berakhirnya Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang dinakhodai Malaysia, maka kepemimpinan ASEAN 2025 kini berpindah tangan kepada Filipina untuk tahun seterusnya.
Perdana Menteri menegaskan, ASEAN di bawah kemudi Malaysia telah merangkul beberapa kekuatan dan semangat baharu apabila Tamu Pengerusi ASEAN iaitu Brazil dari benua Amerika Selatan dan Afrika Selatan dari benua Afrika, selain merupakan pendiri BRICS.
Selain itu kata beliau, ucapan terima kasih diberikan kepada Rakan Dialog ASEAN seperti Kanada, Rusia, Kesatuan Eropah, Republik China, India, Jepun, Republik Korea, New Zealand dan Amerika Syarikat yang turut sama melontar pendirian serta pandangan dalam membentuk sebuah dunia yang mengangkat kemakmuran ekonomi ke tingkat lebih bermaruah.
“Jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang bersabar tatkala kita berusaha menyemarak kerjasama dan mencipta kerjasama baharu. Kalian menyambut barisan tamu negara dengan kemesraan, cemerlang dan mengangkat hospitaliti Malaysia ke tahap tertinggi demi negara.
“Pasukan penjawat awam dan keselamatan juga berusaha secara sederap menjamin keselamatan yang kemas dan mantap. Tidak dilupakan yang menekuni perjalanan persidangan dalam usaha kita meletakkan diplomasi Malaysia ke tahap yang lebih baik dan membanggakan,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI
