Berita, Siaran Media

STR Fasa 4 akan dikredit ke akaun penerima mulai esok

Kira-kira 8.8 juta penerima akan menerima bayaran Fasa 4 Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bermula esok, lebih awal daripada jadual asal pada pertengahan November, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebanyak RM2 billion diperuntukkan bagi fasa ini dengan kadar bayaran sehingga RM700 yang ditetapkan mengikut kategori.

“Penyaluran Fasa 4 STR 2025 ini diharapkan sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan kewangan menjelang sambutan Deepavali,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya jumlah berkenaan termasuk 200,000 pemohon baharu yang telah diluluskan bayaran Fasa 4 STR dan proses penyaluran akan dibuat mulai 13 November depan.

Katanya jumlah penerima Fasa 4 dilaporkan meningkat kepada 500,000 berikutan keputusan kerajaan untuk membuka permohonan baharu dan rayuan.

“Kerajaan akan terus membuka pendaftaran STR dan SARA 2026 sepanjang tahun ini agar lebih ramai rakyat berpeluang mendapat manfaat daripada bantuan ini.

“Tekad Kerajaan Madani adalah untuk memastikan bantuan yang melibatkan agihan limpahan negara ini dapat dimanfaatkan oleh segenap lapisan rakyat Malaysia,” katanya.

Pada 10 Oktober lalu semasa pembentangan Belanjawan Madani Keempat kerajaan mengumumkan peruntukkan keseluruhan STR dan SARA mencecah RM15 bilion bagi tahun 2026.

“Pendekatan ini turut mengurangkan risiko keciciran dan memastikan bantuan terus sampai kepada golongan sasar,” katanya.

Sementara itu Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan  mengingatkan penerima STR agar sentiasa berwaspada terhadap pautan tidak sahih dan cubaan penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat berkaitan program STR. – MalaysiaMADANI