Berita, Sidang Kemuncak ASEAN

Sidang Kemuncak ASEAN: 72 sekolah di KL dan Selangor laksana PdPR

Kira-kira 72 sekolah sekitar Kuala Lumpur dan Selangor dibenarkan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, hujung bulan ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menjelaskan PdPR berkenaan akan berlangsung selama dua hari bermula 27 Oktober ini dilakukan susulan penutupan beberapa jalan utama bagi membawa delegasi atau pemimpin luar negara menghadiri sidang kemuncak tersebut.

“Sekolah tidak ditutup tapi semua murid dan guru akan menjalani pembelajaran secara atas talian berikutan penutupan jalan dan kawalan keselamatan dalam tempoh itu.

” Jadi, pembelajaran akan berlangsung dalam proses PdPR,  seperti biasa,” katanya seperti dipetik laporan portal tempatan.

Persidangan kemuncak ASEAN bakal bermula pada 26 Oktober ini dan dijangka menjadi perhimpunan pemimpin dunia dan berprofil tinggi terbesar setakat ini, dengan kehadiran kuasa besar dunia yang berpengaruh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump antara yang dijangka hadir.

Malah  penyertaan pelbagai negara bukan Rakan Dialog ASEAN yang mengesahkan kehadiran pada sidang kemuncak itu antaranya Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, Perdana Menteri Giorgia Meloni (Itali), Presiden Luis Inacio Lula da Silva (Brazil), Presiden Cyril Ramaphosa (Afrika Selatan).

Selain rakan dialog ASEAN terdiri daripada Australia, Kanada, China, Kesatuan Eropah, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Russia dan United Kingdom. – MalaysiaMADANI