Berita, Sidang Kemuncak ASEAN

Pengerusi ASEAN 2025: Malaysia lakar dua sejarah baharu


Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 berjaya melakar dua peristiwa bersejarah iaitu penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai negara ke-11 ASEAN dan pemeteraian Perjanjian Damia Kuala Lumpur melibatkan Kemboja dan Thailand.

Perkara berkenaan dinyatakan Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul  Abaidah menerusi taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung di Facebook Pejabat Perdana Menteri, hari ini.

Tegas beliau penyertaan Timor-Leste telah melengkapkan keluarga Asia Tenggara yang bersatu dan berdaulat.

Malah penyertaan rasmi Timor-Leste bukan sekadar simbol diplomasi, tetapi adalah hasil keteguhan Malaysia yang sejak sekian lama menyokong penyertaan negara itu ke dalam ASEAN melalui latihan, bantuan teknikal dan pengukuhan kapasiti.

Manakala Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Thailand dengan Kemboja yang disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama-sama Presiden Amerika Syarikat Donald Trump semalam pula adalah titik tolak kepada berakhirnya pertikaian antara kedua-dua negara.

“Ini adalah sebuah kejayaan yang berakar daripada rundingan damai yang dimulakan oleh Perdana Menteri pada Julai lepas,” katanya.

Tunku Nashrul menjelaskan langkah-langkah berkenaan menandakan kesediaan kedua-dua negara untuk menghentikan peperangan dan pembebasan tawanan.

Sempena hari kedua  Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemuncak BerkaitaMengulas lanjut, Tunku Nashrul berkata, tumpuan akan diberikan kepada beberapa perkara utama.

Ia termasuklah pengukuhan kerjasama ekonomi serantau, transformasi digital, peralihan tenaga bersih dan ketahanan rantaian bekalan.

Malah, lima sidang kemuncak utama akan berlangsung hari ini iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-Republik Korea (ROK) ke-26, Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga (ASEAN+3), Sidang Kemuncak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB). – MalaysiaMADANI