Seramai 512 petugas kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ditempatkan di beberapa lokasi strategik sepanjang berlangsung Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bermula 26 Oktober hingga hari ini.
KKM dalam kenyataan memaklumkan, penempatan petugas kesihatan termasuk di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hotel penginapan rasmi yang dilengkapi kemudahan ‘hospital mini’, peralatan moden serta sistem pemantauan pesakit berteknologi tinggi bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Malaysia menampilkan komitmen tinggi dalam aspek kesiapsiagaan kesihatan melalui pasukan perubatan KKM yang berperanan sebagai tulang belakang.
“Selain memastikan tahap kesihatan dan keselamatan semua pemimpin dunia, delegasi serta petugas penganjuran berada pada tahap terbaik,” katanya.
Mengulas lanjut, daripada jumlah itu, 240 petugas terdiri daripada Pakar Perubatan Kecemasan, Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan, Jururawat Terlatih dan Pemandu Ambulans serta 272 lagi melibatkan pegawai kesihatan awam, keselamatan dan kualiti makanan.
Pasukan yang diketuai Dr Muhammad Yunus Tauhid Ahmad, selaku Ketua Koordinasi dan Dr Hafiz Syarbaini Mansor, Chief Medical Officer sepanjang tempoh itu dan bertanggungjawab bagi memastikan semua aspek kesihatan secara menyeluruh.
Ia termasuklah rawatan perubatan, kawalan penyakit berjangkit, keselamatan makanan serta kesiapsiagaan ambulans khas dan pasukan perubatan bergerak (mobile medical team) yang mengiringi setiap Ketua Negara dan para delegasi.
Komitmen dan kesiapsiagaan tinggi ini mencerminkan keazaman KKM dalam memastikan aspek kesihatan awam sentiasa menjadi keutamaan negara, seiring dengan imej Malaysia sebagai tuan rumah yang unggul di peringkat antarabangsa.
Sidang Kemuncak ini menjadi pertemuan terbesar dalam sejarah ASEAN, berfungsi sebagai platform penting untuk memperkukuh kerjasama mendalam bagi menangani cabaran serantau dan global secara menyeluruh dan inklusif.
Sepanjang sidang berlangsung, Malaysia menjadi tumpuan dunia dengan kehadiran ramai pemimpin-pemimpin utama antaranya Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung berakhir hari ini, dan Malaysia menyerahkan kepengerusiannya kepada Filipina. – MalaysiaMADANI
