Berita, Sidang Kemuncak ASEAN

Malaysia sedia ganding bahu dengan negara ASEAN perkukuh ekosistem pendidikan serantau – Dr Zambry


Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 komited untuk bekerjasama dengan negara-negara anggota ASEAN dalam memperkukuh ekosistem pendidikan serantau, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir

Katanya pihak KPT kini sedang giat melaksanakan pelbagai reformasi dalam sistem pendidikan tinggi agar kekal relevan dan berupaya melahirkan graduan berpengetahuan serta berkemahiran tinggi.

“Usaha memperkukuh kerjasama pendidikan tinggi serantau penting dalam usaha memastikan sistem pendidikan di ASEAN kekal relevan, dinamik dan selari dengan keperluan dunia semasa yang semakin mencabar.

“Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) turut diperkukuhkan melalui kerjasama merentas kementerian dan agensi bagi memenuhi keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berdaya saing,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam forum bertajuk “Educating ASEAN – Aligning Policy, Talent, and Innovation with Regional Growth” sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan ASEAN Business and Investment Summit (ABIS) 2025.

Tegas beliau Malaysia kini bersedia untuk bekerjasama rapat dengan negara-negara ASEAN lain dalam memperkukuh ekosistem pendidikan serantau, memperluas mobiliti pelajar, serta memperkukuh jaringan penyelidikan dan inovasi demi kemajuan bersama rantau ini.

Malah, Dr. Zambry menjelaskan pendidikan merupakan pemangkin utama kepada perubahan kehidupan seseorang serta kunci kepada pembinaan masa depan yang lebih baik.

Katanya, melalui pendidikan, seseorang mampu meningkatkan taraf hidup, membina keluarga yang lebih sejahtera dan menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang maju serta berdaya tahan. – MalaysiaMADANI