Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), António Guterres bagi memperkukuhkan lagi kerjasama Malaysia-PBB, termasuk di bawah kerangka ASEAN-PBB.
Tegas beliau, Malaysia menzahirkan sokongan penuh terhadap agenda reformasi PBB termasuk Pact for the Future dan UN80 Initiative, selain komited untuk memperkasa Wawasan Komuniti ASEAN 2045 seiring dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030 melalui pelaksanaan Complementarities Initiative 2.0.
“Malaysia turut menegaskan pendirian teguh terhadap perjuangan Palestin, serta mengalu-alukan pendirian konsisten PBB dan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menegaskan bahawa sekatan rejim Israel terhadap bantuan kemanusiaan di Gaza melanggar undang-undang antarabangsa.
“Malaysia bersedia menyumbang dalam Misi Pengaman PBB ke Gaza bersama negara-negara sehaluan termasuk dalam kalangan anggota OIC,” ujar beliau menerusi laman media sosialnya.
Perdana Menteri berkata, beliau turut membincangkan peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN dalam memudah cara rundingan damai antara Thailand dan Kemboja.
Dalam masa sama kata beliau, Malaysia turut memajukan usaha dialog inklusif di Myanmar serta memperkukuh agenda perubahan iklim global termasuk penyerahan Nationally Determined Contributions (NDC) 3.0 Malaysia menjelang COP30 di Brazil.
“Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan PBB dalam memperjuangkan keamanan, keadilan dan pembangunan mampan sejagat,” ujar beliau. – MalaysiaMADANI
