Berita

Lawatan Pakistan ke Malaysia buka lembaran baharu dalam hubungan strategik dua negara

Lawatan rasmi Perdana Menteri Pakistan, Muhammad Shehbaz Sharif ke Malaysia membuka lembaran baharu dalam hubungan strategik antara kedua-dua negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lawatan rasmi selama tiga hari itu katanya bukan sekadar memperkukuh hubungan persahabatan yang sedia terjalin, sebaliknya menjadi titik tolak kepada kerjasama strategik yang lebih mendalam dalam pelbagai bidang demi manfaat rakyat Malaysia dan Pakistan.

Beliau menambah lawatan ini bukan sahaja memperkukuh persahabatan dua negara, tetapi juga membuka lembaran baharu dalam kerjasama strategik demi kesejahteraan rakyat Malaysia dan Pakistan.

“Usai sambutan rasmi, saya dan PM Shehbaz telah mengetuai delegasi masing-masing dalam sesi mesyuarat dua hala dan pertemuan tertutup yang berlangsung dalam suasana mesra, terbuka dan konstruktif,” katanya.

Terdahulu, ketibaan delegasi Shehbaz di Putrajaya disambut dengan istiadat rasmi termasuk pemeriksaan kawalan kehormatan oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja di Dataran Perdana Putra. – MalaysiaMADANI