Berita

KPM, PDRM teliti perkukuh keselamatan pelajar di sekolah

Aspek keselamatan dan kesejahteraan pelajar semasa berada di sekolah menjadi antara agenda penting yang terus diberi perhatian utama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). 

Satu Mesyuarat Permuafakatan KPM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Tahun 2025 telah dijalankan.

Mesyuarat itu dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dr Mohd Azam Ahmad dan Timbalan Pengarah (Kepolisan Am/Kepolisan Komuniti), Datuk Aida Abdul Hamid.

“Mesyuarat ini merupakan platform strategik bagi memperkukuh kolaboratif keselamatan dan kesejahteraan murid di sekolah,” kata KPM menerusi media sosialnya. 

Menerusi mesyuarat tersebut, KPM dan PDRM dapat menyelaras pelaksanaan inisiatif keselamatan sekolah termasuk peranan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS).

Selain itu, perkara lain yang turut dibincangkan adalah meneliti data dan trend salah laku disiplin murid seperti buli, gengsterisme, ponteng sekolah, vandalisme dan penyalahgunaan dadah serta merangka tindakan pencegahan dan intervensi bersepadu. -MalaysiaMADANI