Sesibuk mana sekalipun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tetap meluangkan masa bertemu orang ramai terutama kepada mereka yang akan menyambut perayaan berdasarkan kepercayaan masing-masing.
Selesai program rasmi, Perdana Menteri singgah di Little India, Brickfields bagi meninjau persiapan masyarakat Hindu yang bakal menyambut perayaan Deepavali.
“Sejurus tiba, saya berkesempatan menikmati minum petang bersama pengamal media Tamil dan pempengaruh media sosial di Madras Bakery, sambil bertukar pandangan mengenai pelbagai isu semasa,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Dalam pertemuan itu, beliau berkongsi beberapa inisiatif baharu bernilai RM42.25 juta untuk manfaat masyarakat India.
Beliau berkata, antara inisiatif baharu tersebut berupa program tuisyen percuma, pemberian komputer riba melalui inisiatif Peranti Siswa serta penyelenggaraan dan pembaikan sekolah di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
“Saya juga meninjau beberapa kedai dan gerai jualan di tapak bazar Little India, Brickfields, sambil menyapa para peniaga dan masyarakat India termasuk bertanyakan mengenai persiapan mereka menjelang perayaan.
“Semoga sambutan Deepavali tahun ini diraikan dengan penuh kegembiraan, kesyukuran dan semangat perpaduan,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI