Berita

Demi Malaysia, PM temu pemimpin utama dunia

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hari ini.

Pertemuan tersebut mengukuhkan lagi hubungan erat dan konstruktif antara Malaysia dan IMF yang berteraskan rundingan berkala, bantuan teknikal serta kerjasama dasar yang rapat.

Perdana Menteri berkata, perbincangan turut menyentuh isu keseimbangan semula perdagangan global, pengukuhan rangka keselamatan kewangan antarabangsa serta pelaksanaan reformasi fiskal di bawah kerangka Ekonomi MADANI. 

“Malaysia kekal komited terhadap disiplin fiskal serta pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan, dengan unjuran pertumbuhan antara 4.0 peratus hingga 4.8 peratus pada tahun 2025,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Terdahulu, Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan bersama rakan sejawatnya dari Vietnam, Pham Minh Chinh bagi membincangkan usaha memuktamadkan Pelan Tindakan Kerjasama Strategik Komprehensif antara kedua-dua negara.

Selain itu, Perdana Menteri juga berkesempatan mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon.

Ia melibatkan perbincangan kerjasama strategik meliputi sektor pelaburan, perdagangan, pertanian, perikanan, pembangunan industri halal, pendidikan serta tenaga boleh baharu.

Sebelum itu, Perdana Menteri bersama rakan sejawat dari China, Li Qiang menyaksikan Majlis Menandatangani Protokol Naik Taraf Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN–China 3.0 (ACFTA 3.0) sempena Sidang Kemuncak ASEAN–China Ke-28.

Pemeteraian itu menandakan satu fasa baharu dalam kerjasama ekonomi serantau, melambangkan komitmen bersama ASEAN dan China untuk memperkukuh perdagangan terbuka, rantaian bekalan yang berdaya tahan serta kemakmuran yang dikongsi bersama. – MalaysiaMADANI