Hari kedua Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 menyaksikan pelbagai sesi penting berlangsung, sekali gus memperkukuh komitmen ASEAN ke arah rantau yang lebih aman, makmur dan inklusif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara sesi utama yang berlangsung termasuk Sidang Kemuncak ASEAN-PBB, ASEAN-Kanada dan ASEAN-India.
Sebagai Pengerusi ASEAN, tegas beliau, Malaysia akan terus tekad memperkukuh perpaduan serantau dan memperluas kerjasama strategik dengan rakan luar.
“Dalam setiap pertemuan, ASEAN menekankan keutamaan memperkukuh keterangkuman, kelestarian dan daya tahan rantau, selaras dengan visi ASEAN 2045: Our Shared Future,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Perdana Menteri berkata, seiring pelaksanaan visi ASEAN 2045: Our Shared Future, ASEAN kekal teguh menyelaraskan keutamaan serantau dengan Matlamat Pembangunan Lestari 2030, berpaksikan keterangkuman, kelestarian serta semangat multilateralisme.
Beliau berkata, hari kedua dilihat cukup bermanfaat dengan rangkaian sidang penting bersama Korea Selatan, ASEAN Campur Tiga, RCEP, EAS dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Di sela-sela persidangan yang padat, saya sempat mengadakan tiga pertemuan dua hala bersama Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung; PM Kanada Mark Carney dan TPM Rusia, Alexey Overchuk untuk meneroka kerjasama baharu dalam pelbagai bidang,” menurut beliau.
Dalam pada itu, semasa Sidang Kemuncak ASEAN-PBB ke-15, Perdana Menteri mewakili ASEAN menegaskan semula komitmen kukuh terhadap hubungan erat yang sekian lama terjalin dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebuah perkongsian yang berasaskan aspirasi bersama untuk keamanan, kemakmuran dan kelestarian sejagat.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Setiausaha Agung PBB, António Guterres, atas keberanian dan keteguhan prinsip beliau dalam memperjuangkan keadilan termasuk menentang kekejaman yang sedang berlaku di Gaza.
“Ia membuktikan suara beliau mencerminkan nilai kemanusiaan sejati yang wajar kita junjung bersama,” ujar beliau. – MalaysiaMADANI
