Berita, Sidang Kemuncak ASEAN

3,000 pegawai Imigresen bertugas pastikan kelancaran  Sidang Kemuncak Ke-47



Kira-kira 3,000 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan bertugas di semua pintu masuk negara bagi memastikan kelancaran ketibaan delegasi antarabangsa sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung bermula 26 Oktober ini.

JIM dalam kenyataan memaklumkan latihan kesiapsiagaan menyeluruh turut dilaksanakan bagi memperkukuh kecekapan pegawai dan kakitangan. 

Malah pelbagai persiapan dilakukan dalam menyambut dan mengurus ketibaan perwakilan dari lebih 30 negara yang menghadiri sidang kemuncak berkenaan.

“JIM kekal komited dalam memastikan aspek keselamatan dan urusan imigresen berjalan lancar serta bertaraf antarabangsa,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, sebanyak 84 dokumen hasil sidang dijangka akan diterbitkan sempena sidang kemuncak berkenaan.

Sidang kemuncak ASEAN bakal bermula pada 26 hingga 28 Oktober ini dan dijangka menjadi perhimpunan pemimpin dunia dan berprofil tinggi terbesar setakat ini, dengan kehadiran kuasa besar dunia yang berpengaruh.

Anwar sebelum ini berkata, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump antara yang dijangka hadir.

Malah  penyertaan pelbagai negara bukan Rakan Dialog ASEAN yang mengesahkan kehadiran pada sidang kemuncak itu antaranya Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, Perdana Menteri Giorgia Meloni (Itali).

Turut hadir adalah Presiden Luis Inacio Lula da Silva (Brazil), Presiden Cyril Ramaphosa (Afrika Selatan).

Selain rakan dialog ASEAN terdiri daripada Australia, Kanada, China, Kesatuan Eropah, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Russia dan United Kingdom. -MalaysiaMADANI