Berita

Transaksi SARA catat lebih RM110 juta dalam masa dua hari

Program Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) membuktikan keberkesanannya apabila lebih RM110 juta transaksi berjaya direkodkan di seluruh negara, sekali gus mencerminkan inisiatif kerajaan sampai kepada golongan sasar.

Kementerian Kewangan dalam  kenyataan memaklumkan, lebih 900,000 penerima SARA telah berbelanja lebih RM60 juta di seluruh negara setakat pukul 9.30 malam, hari kedua pelaksanaan.

Secara keseluruhan, lebih 1.7 juta penerima berjaya menyempurnakan pembelian dalam tempoh dua hari pertama.

Susulan ledakan transaksi semalam, peningkatan kapasiti sistem oleh MyKasih membolehkan 20 peratus lebih banyak transaksi diproses hari ini, meskipun masih berlaku kesesakan terutama di beberapa pasar raya besar pada waktu puncak.

Petugas MyKasih turut ditempatkan di setiap lokasi untuk membantu penerima serta kelancaran proses penebusan.

Orang ramai turut dinasihatkan merancang pembelian pada waktu bukan puncak, khususnya pada sebelah pagi pada hari bekerja memudahkan urusan transaksi.

Kredit RM100 Penghargaan SARA sah sehingga 31 Disember 2025 dan boleh digunakan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara. – MalaysiaMADANI