Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan tiada pelajar yang terlibat dengan rusuhan di Indonesia yang berlaku sejak minggu lalu.
Menterinya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menjelaskan, pihaknya sentiasa berhubung dengan pihak Education Malaysia (EM) dan mengikuti perkembangan terkini mengenai keadaan semasa di negara tersebut.
“Setakat ini, alhamdulillah kita tidak mendapat sebarang berita-berita yang melibatkan pelajar Malaysia terlibat rusuhan di sana.
“Namun kita terus memantau kerana kesannya bukan hanya di Jakarta tapi juga melibatkan daerah-daerah lain,” katanya.
Zambry menjelaskan pihaknya menerusi pihak (EM) sentiasa berhubung dengan pelajar -pelajar Malaysia yang berada di sana untuk memberi peringatan supaya tidak terlibat dengan rusuhan dan sentiasa berwaspada.
“Pihak EM sentiasa berhubung dengan mereka menyampaikan maklumat kepada mereka untuk memastikan mereka tidak berada di kawasan-kawasan yang terlibat,” tambahnya.
Setakat ini, lebih 1,200 rakyat Malaysia yang melanjutkan pelajaran di negara tersebut.
Pihak berkuasa Indonesia kini bertindak mengetatkan kawalan keselamatan susulan rusuhan akibat tekanan ekonomi yang meragut sekurang-kurangnya enam nyawa dan mencetuskan kemarahan rakyat terhadap pasukan polis negara itu.
Protes yang bermula minggu lalu bagi membantah elaun kewangan untuk ahli parlimen bertukar ganas selepas tular rakaman video menunjukkan sebuah kenderaan pasukan elit polis separa tentera melanggar seorang penghantar barang, Affan Kurniawan, 21, lewat Khamis.
Rusuhan kini merebak ke beberapa bandar utama termasuk Yogyakarta, Bandung, Semarang dan Surabaya di Pulau Jawa, serta Medan di Sumatera Utara, menjadikannya krisis terburuk sejak Presiden Prabowo Subianto mengambil alih tampuk pemerintahan. – MalaysiaMADANI