Berita

Malaysia-China komited bina komuniti strategik

Lawatan kerja empat hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China diteruskan dengan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat dari republik itu, Li Qiang di Diaoyutai State Guest House.

Perdana Menteri sebelum itu mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden China, Xi Jinping. 

Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri mengucapkan tahniah atas kejayaan Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), selain menzahirkan penghargaan atas sokongan China terhadap ASEAN. 

“Malaysia kekal komited membina komuniti strategik bersama China, seiring nilai MADANI,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Perdana Menteri berkata, Malaysia turut meneroka peluang baharu dalam perdagangan dan pelaburan, khususnya memperkukuh kerjasama di bawah Belt and Road Initiative (BRI) serta inisiatif strategik lain yang melibatkan pembangunan infrastruktur, ekonomi digital, inovasi teknologi dan sumber tenaga.

Kata beliau, pertemuan itu turut membincangkan isu serantau termasuk perkembangan di Myanmar dan konflik Cambodia-Thailand, di mana Malaysia dan China sepakat mahu melihat penyelesaian damai tercapai menerusi dialog.

“Selesai mesyuarat, Perdana Menteri Li meraikan delegasi Malaysia dalam majlis makan malam eksklusif yang dianjurkan khas buat negara kita, lambang persahabatan erat Malaysia-China yang berteras hormat, keikhlasan dan saling menghargai, serta tekad untuk melangkah ke hadapan bersama,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI