Berita

Kota Budi ESG : Sasar 2 juta buku tulis kitar semula

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah melancarkan program Kota Budi ESG (Fasa 2) ‘Dua Juta Buku Tulis Kitar Semula: Memacu Pendidikan Lestari’ di ibu negara, baru-baru ini.

Program tersebut merupakan kesinambungan daripada kejayaan fasa pertama projek tahun lalu dengan sasaran baharu iaitu dua juta buku tulis kitar semula, menjelang sesi persekolahan baharu pada Januari 2026.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh menegaskan, komitmen berterusan KPM itu bertujuan mengarusperdanakan aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam ekosistem pendidikan, khususnya bagi membantu meringankan beban keluarga B40.

“Projek ini bukan sekadar buku tulis tetapi simbol peluang, harapan dan masa hadapan pendidikan anak-anak bangsa,” katanya semasa berucap dalam program tersebut.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Kota Buku, Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani Hassan Thani; Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Mohd Khair Ngadiron dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Adibah Omar. -MalaysiaMADANI