Kerajaan akan melaksanakan Program Budi Madani RON95 (BUDI95) dengan setiap rakyat Malaysia menerima siling kelayakan bulanan sebanyak 300 liter subsidi petrol RON95 bermula 30 September ini.
Seiring dengan pelaksanaan tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, harga RON95 turut diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter, manakala bukan warganegara akan dikenakan harga RM2.60 seliter.
Melalui BUDI95, beliau berkata, semua warganegara Malaysia tanpa mengira tahap pendapatan dan mempunyai lesen memandu yang sah serta aktif akan secara automatik menikmati manfaat tersebut.
“Usaha ini bertujuan memastikan subsidi diagihkan secara lebih adil kepada rakyat yang layak, di samping mengelakkan sebarang bentuk ketirisan,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Tambah beliau, bagi menjayakan pelaksanaan ini, penggunaan MyKad dan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menjadi asas pengesahan, supaya hanya warganegara yang memiliki lesen memandu sah menerima manfaat tersebut.
Perdana Menteri juga mengingatkan rakyat untuk menyemak lebih awal cip MyKad dan lesen memandu masing-masing, supaya tidak timbul masalah teknikal ketika mengisi petrol kelak.
“Insya-Allah, Kementerian Kewangan akan memberi penjelasan dan penerangan terperinci dari semasa ke semasa, agar rakyat benar-benar jelas mengenai pelaksanaan ini.
“Yang penting, subsidi ini akan diagih secara bersasar, telus dan tanpa ketirisan demi kebaikan seluruh rakyat Malaysia,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI