Lawatan kerja ke China kali ini tidak sekadar memperkukuh persahabatan erat Malaysia dan republik itu, sebaliknya turut memperteguh kedudukan negara di pentas serantau dan antarabangsa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dia secara peribadi dan Malaysia umumnya amat menghargai hubungan baik yang terjalin antara Presiden, Xi Jinping dan Perdana Menteri, Li Qiang yang semakin mekar melalui pertemuan di Tianjin dan Beijing.
“Persahabatan kami bertunjangkan keikhlasan, membuka ruang luas bagi kerjasama strategik yang akan membawa manfaat nyata kepada rakyat kedua-dua negara.
“Di Tianjin, saya diberi penghormatan menyampaikan syarahan serta bertemu pemimpin dunia untuk membincangkan perdamaian di Myanmar, kerjasama dua hala dan derita yang terus menimpa Gaza,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.
Di Beijing tambah beliau, delegasi Malaysia bersama Xi Jinping serta pimpinan dunia menghadiri sambutan ulang tahun ke-80 penamatan Perang Dunia Kedua, satu simbolik penentangan terhadap penindasan dan penjajahan, tatkala dunia dibelenggu sikap hipokrit kuasa-kuasa besar yang membiar dan mengabsahkan kezaliman terhadap rakyat Palestin.
Dalam perbincangan lebih mendalam bersama Presiden dan Perdana Menteri China, beliau berkata, kedua-dua pihak berupaya meneroka ruang untuk memperluas kerjasama baharu antara dalam pembangunan infrastruktur, pelabuhan, pendidikan, teknologi serta kecerdasan buatan.
Sementara itu kata Perdana Menteri, mesyuarat perniagaan diadakan di Tianjin dan Beijing pula membuahkan hasil memberangsangkan apabila potensi pelaburan bernilai RM905 juta dalam sektor kimia dan telekomunikasi, mencerminkan keyakinan syarikat gergasi China terhadap Malaysia yang semakin utuh.
Tambah beliau, kejayaan lain adalah komitmen JD.com kepada potensi pembelian produk Malaysia bernilai RM180 juta, manakala pertemuan dengan China Semiconductor Industry Association membuka prospek eksport bernilai RM2.2 bilion dalam tempoh satu hingga dua tahun, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam industri semikonduktor.
Tegas beliau, lawatan kerja itu juga telah menampilkan Malaysia di pentas dunia, membawa suara keadilan, menolak penindasan dan memperjuangkan kemanusiaan sejagat.
“Penghargaan tertinggi daripada saya dan seluruh delegasi Malaysia atas layanan mesra serta penghormatan luar biasa daripada kerajaan China yang menghulurkan persahabatan dengan penuh hormat dan keikhlasan,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI