Berita

Sultan Ibrahim jadi Ketua Negara Malaysia pertama lakukan Lawatan Negara ke Rusia

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim melakukan lawatan bersejarah apabila baginda menjadi Ketua Negara Malaysia pertama mengadakan Lawatan Negara ke Rusia, sejak tertubuhnya hubungan diplomatik kedua-dua negara pada 1967.

Baginda mencemar duli berangkat ke Rusia pada pagi Isnin untuk lawatan bermula Selasa hingga 10 Ogos ini, di atas jemputan Presiden, Vladimir Putin.

Pesawat khas membawa Seri Paduka Baginda berlepas dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, Selangor jam 8.55 pagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof hadir mengucapkan selamat berangkat kepada Sultan Ibrahim.

Turut hadir ialah Menteri Luar, Datuk Mohamad Hasan; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Sebelum berangkat, Seri Paduka Baginda menerima tabik Hormat Diraja daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dengan diiringi tembakan meriam 21 das dan nyanyian lagu Negaraku.

Sultan Ibrahim dijadual tiba di Moscow pada Selasa dan akan disambut dalam Istiadat Sambutan Negara di Kremlin pada Rabu.

Seri Paduka Baginda seterusnya akan mengadakan pertemuan rasmi bersama Putin serta menghadiri Majlis Santapan Negara yang dihoskan oleh Presiden Rusia itu.  -MalaysiaMADANI