Berita

Pakar bedah kardiotoraks UM muncul rakyat Malaysia pertama terima Fellowship berprestij RCSEd

Sejarah perubatan negara sekali lagi tercipta apabila pakar bedah kardiotoraks dari Universiti Malaya (UM), Prof Dr K. Sivakumar muncul sebagai rakyat Malaysia pertama dianugerahkan Fellowship berprestij  Royal College of Surgeons of Edinburgh (RCSEd).

Pengiktirafan bertaraf dunia ini bukan sahaja mengharumkan nama negara  persada antarabangsa tetapi membuktikan kepakaran anak Malaysia diiktiraf dunia.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan UM, fellowship yang dicapai telah mengiktiraf komitmennya dalam pendidikan pembedahan dan usaha berterusan dalam mempertingkat kecemerlangan dalam bidang pembedahan kardiotoraks untuk UM dan Malaysia.

Pembangunan program sarjana pertama pembedahan kardiotoraks di Malaysia membolehkan UM terus melangkah sebagai pusat kecemerlangan serantau. 

Malah, pencapaian berkenaan adalah bukti bahawa Malaysia MADANI bukan sahaja membina negara di dalam, tetapi juga memberi impak di pentas global.

Secara jelas, kejayaan Dr Sivakumar adalah bukti bahawa Malaysia mampu melahirkan pemimpin akademik bertaraf dunia. 

Inilah semangat Malaysia MADANI, melangkaui sempadan, memberi impak besar, dan meletakkan nama negara di peta antarabangsa.

Sementara itu, Dr Sivakumar pula menyifatkan kejayaan yang dicapai bukan sekadar pencapaian individu sebaliknya melihat sebagai amanah besar.

“Kejayaan ini sebagai amanah untuk melahirkan generasi pakar bedah muda yang mampu menyelamatkan lebih banyak nyawa.

“ Inilah semangat ilmu untuk manfaat bersama yang menjadi teras Malaysia MADANI iaitu membina insan, memperkasa masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UM, Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman pula berkata pencapaian itu mencerminkan kecemerlangan universiti berkenaan dan berharap ia akan memberi inspirasi kepada komunitinya untuk mengejar pengiktirafan bertaraf global.

Tegas beliau, kejayaan yang dicapai mencerminkan kecemerlangan UM dan memberi inspirasi kepada komuniti kami untuk terus berusaha meraih pengiktirafan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.  – MalaysiaMADANI