Berita

Nilai eksport Malaysia ke AS capai RM111.5 bilion, sumbang 14.7 peratus keseluruhan eksport negara

Eksport Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) menyumbang 14.7 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport negara iaitu mencapai RM111.59 bilion daripada Januari hingga Jun, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pada Jun 2025, eksport ke AS mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun (Y-O-Y) bagi bulan ke-18 berturut-turut sejak 2023.

“Kenaikan eksport secara mendadak ke AS dalam tempoh itu berkemungkinan besar disebabkan  peningkatan aktiviti penghantaran awal sebagai langkah mitigasi sektor perniagaan bagi mengelakkan implikasi peningkatan kos operasi apabila tarif timbal balas berkuat kuasa pada 1 Ogos lalu.

“Eksport utama barangan Malaysia ke Amerika Syarikat dan nilai eksport bagi setiap barangan tersebut (daripada keseluruhan eksport) adalah seperti produk elektrik & elektronik (E&E) bernilai RM120.11 bilion (60.4 peratus), “katanya.

Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, barangan optik dan saintifik  pula mencatatkan nilai eksport sebanyak RM12.91 bilion (6.5 peratus); jentera, kelengkapan dan peralatan bernilai RM8.78 bilion (4.4 peratus); barangan getah bernilai RM7.42 bilion (3.7 peratus); dan barangan kayu bernilai RM6.02 bilion (3.0 peratus).

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, nilai dagangan dua hala di antara Malaysia dan AS mencecah RM394.91 bilion pada 2024, merangkumi 11.3 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan Malaysia dengan semua negara yang berjumlah RM2.88 trilion.

AS katanya merupakan rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia selepas China (RM484.12 bilion) dan Singapura (RM396.22) bilion.

Perkara berkenaan dinyatakan ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Ipoh Timor, Lee Chuan How yang meminta menteri menyatakan kadar kebergantungan eksport Malaysia ke AS dan jumlah dan jenis eksport buatan dan perkhidmatan Malaysia ke AS. – MalaysiaMADANI