Berita, Uncategorized

Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam menguasai teknologi AI – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam menguasai teknologi kecerdasan buatan (AI) yang menjadi teras kepada pembangunan modal insan dan daya saing negara.

Katanya keupayaan negara untuk menguasai kemahiran atau teknologi baharu ialah kunci kepada kemampuan Malaysia dalam menghadapi transformasi digital global.

“Segala perubahan melibatkan teknologi baharu, transformasi digital, peralihan tenaga serta Grid Kuasa ASEAN (APG) adalah titik-titik perkembangan penting ke arah menaikkan siling pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan program CD:NXT yang dikelolakan oleh CelcomDigi Bhd.

CD:NXT ialah inisiatif oleh CelcomDigi untuk membangunkan bakat masa depan negara selaras dengan aspirasi Malaysia menjadi ekonomi yang dipacu oleh teknologi 5G dan AI.

Beliau menambah manfaat daripada perubahan ini mesti dapat dirasai dan dinikmati oleh seluruh masyarakat, khususnya golongan belia yang merupakan pewaris masa depan negara.

Justeru beliau menegaskan penyediaan silibus yang komprehensif dan menyeluruh perlu disedia supaya belia dilengkapi pengetahuan teknologi moden.

Bagaimanapun tegas beliau pengetahuan teknologi berkenaan perlu berpaksikan kepada akar budaya dan jati diri bangsa.

Dalam majlis berkenaan, beliau menghargai komitmen CelcomDigi yang memperuntukkan RM100 juta untuk menjayakan program ini, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 5,000 penerima.

Katanya model sebegini wajar dicontohi oleh lebih banyak syarikat tempatan dalam usaha membentuk generasi muda yang kompeten, celik teknologi dan bersedia memimpin masa depan negara. – MalaysiaMADANI