Berita

Malaysia terus bersama Palestin, tambah dana RM100 juta

Sokongan tidak berbelah bahagi rakyat Malaysia kepada Gaza dan Palestin diterjemahkan menerusi perhimpunan mega Malaysiaku Bersama Gaza yang diadakan di Dataran Merdeka pada malam Ahad.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama puluhan ribu rakyat Malaysia berhimpun untuk menyatakan tekad bangkit bersatu menolak kezaliman, menentang pembunuhan anak-anak kecil dan wanita, malah menuntut keadilan yang telah dinafikan sejak puluhan tahun.

Perdana Menteri berkata, bukan sahaja keganasan, tetapi penjajahan dalam bentuk paling zalim dan tidak berperikemanusiaan telah dilakukan pihak Zionis.

Beliau menegaskan, Malaysia sama sekali tidak pernah berpaling malah mengangkat dan membawa isu Palestin di peringkat antarabangsa.

“Dalam setiap pertemuan antarabangsa di Tokyo, Beijing, New Delhi mahupun Eropah, tidak pernah saya lupa untuk membawa suara saudara kita yang dizalimi di Gaza.

“Hari ini saya tegaskan, usaha belum selesai. Kita harus gandakan sokongan. Malaysia bersama rakan antarabangsa terus menyalurkan bantuan dari segi rawatan perubatan hingga peluang pendidikan. 

“Dan malam perhimpunanan ini, Kerajaan MADANI mengumumkan tambahan dana RM100 juta untuk rakyat Palestin,” kata beliau menerusi laman media sosialnya.

Perdana Menteri berkata, Malaysia perlu terus percaya dan teguh melangkah tanpa takut serta gentar kerana kebenaran dan keadilan pasti akan menang.

Beliau berkata, bulan ini adalah bulan kemerdekaan. Seperti pejuang-pejuang lampau di tanah air, di Indonesia, India, Vietnam yang bangkit melawan penjajah, maka semangat merdeka itu diteruskan bersama Palestin. 

“Atas semangat ini, kita kirimkan segala usaha dan doa kita buat rakan-rakan aktivis yang akan belayar ke Gaza pada 31 Ogos ini. Ingatlah, suara yang bergema malam ini bukan suara parti, bukan suara kaum, tetapi suara rakyat Malaysia yang menuntut keadilan. Jangan biarkan perpecahan melemahkan kita.

“Kepada saudara-saudara kita di Gaza dan Palestin, ketahuilah kami tidak akan meninggalkan kalian. Kami belajar daripada semangat kalian, kami hormati dan junjung tinggi perjuangan kalian. Dengan izin Allah, kami akan teguh bersama kalian buat selamanya,” ujar beliau. -MalaysiaMADANI